Apr 20, 2025 - FASSelangor FC berjaya mengakhiri saingan Liga Super 2024/25 dengan kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC di Stadium MBPJ, semalam.
Perlawanan bermula dengan agak perlahan namun beberapa percubaan berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Ifedayo Olusegun hampir berjaya meletakkan Sang Saka Biru di hadapan pada minit ke-33 perlawanan selepas berjaya merembat masuk gol menggunakan kaki kanannya, namun tidak dikira kerana rakan sepasukannya berada di kedudukan ‘offside’, menjadikan separuh masa pertama kekal 0-0. Empat minit separuh masa kedua bermula, Alvin Fortes berjaya menjaringkan gol sulung #SFCPDRM pada minit ke-49 selepas menggelecek bola yang diterima daripada Safuwan Baharudin ke dalam kotak lalu terus meledak bola tersebut ke dalam gawang pihak lawan. Dalam masa tambahan, Selangor FC menjaringkan gol kedua menerusi Yohandry Orozco selepas beliau menyepak masuk bola ‘reflect’ daripada pemain pertahanan PDRM FC pada minit ke 90+1, menjadikan kemenangan manis terakhir untuk musim ini.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, gembira dapat kenangan manis bagi musim ini tetapi mahu pasukan untuk terus progres.
“Semalam kita berjaya meraih kemenangan manis untuk musim 2024/25 dan juga tempat ke-2 dalam Liga. Walau bagaimanapun, kita perlu terus maju untuk musim hadapan. Paling penting, pasukan bersatu hati menghadapi setiap cabaran termasuk pemain, jurulatih, pegawai dan pihak pengurusan,” Kinoshi membuat kesimpulan untuk musim ini dan hadapan.
Daripada perlawanan #SFCPDRM semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Alvin Fortes genapkan rekod gol
Pemain import musim 2024/25 yang sentiasa menjadi bualan ramai atas kelebihan dalam menyerang yang dimiliki, Fortes berjaya menggenapkan 20 rekod jaringan gol untuk musim pertama beliau bersama skuad Gergasi Merah. Pemain sayap ini telah meledak masuk gol sulung Gergasi Merah pada minit ke-49 perlawanan #SFCPDRM, selepas tandukkan Safuwan Baharudin tepat jatuh ke kaki Fortes, beliau kemudian mengelecek bola ke dalam kotak penalti sebelum merembat masuk menggunakan kaki kirinya, membantu pasukan berada di hadapan. Fortes amat gembira dapat menjaringkan gol ke-20 beliau dalam perlawanan penutup ini.
Safuwan Baharudin MoTM #SFCPDRM
Kapten pasukan, Safuwan, figura yang sentiasa menjadi contoh dan dipandang tinggi terutama di kalangan rakan sepasukan yang lebih muda darinya. Semalam beliau telah dinobatkan sebagai ‘Man of The Match’ (MoTM) dalam perlawanan semalam atas usaha kerasnya membantu pasukan terutama sekali dalam mempertahankan kubu pertahanan skuad Merah Kuning serta membuat satu ‘assist’ kepada gol Alvin Fortes.
Dalam masa yang sama, kerja keras setiap pemain yang telah berikan yang terbaik dalam padang untuk perlawanan penutup #SFCPDRM semalam perlu diberikan pujian. Mereka tetap berikan persembahan yang terbaik biarpun pasukan telah berjaya mendapatkan tempat kedua dalam siangan Liga Super 2024/25 sejak tiga perlawanan yang lalu.
Tidak lupa juga para penyokong yang sentiasa berikan masa dan suara untuk memberi sokongan padu kepada pasukan. Tanpa anda, stadium tiada seri, terima kasih daripada kami!
Pihak pengurusan ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemain kerana dapat menghadiahkan kemenangan terakhir untuk musim ini kepada para penyokong dan kelab. Terima kasih kami ucapkan.
Demi Kebanggaan!